Halaman

Rabu, 19 Disember 2012

PeNuLiSaNkU ~~ Bukan memaksamu




             BAB 1


            Aku masih menanti di sini.  Beberapa pemandu teksi mula bertanyakan aku sama ada ingin menggunakan khidmat mereka atau sebaliknya. Aku hanya menggeleng beberapa kali tanda menidakkan.  Sudah puas aku menanti.  Sedari jam 11.00 pagi sehinggalah sekarang yang sudah menunjukkan angka 3.00 petang.  Bukan aku tidak cuba menelefon, namun semua panggilanku hanya di sambut oleh peti suaranya.  Membuatkan aku rimas dan lemas.  Mesej yang aku hantar juga tidak berbalas sama sekali.  Naik bingung aku tatkala memikirkannya.
            ‘Aku silap hari ke?’  fikirku sendiri.  Namun dengan pantas aku mencantas kata hatiku itu.  Masakan aku tersilap di dalam membuat perkiraan ini.  Kerana sudah beberapa bulan aku merencanakan aktiviti ini.  Bukannya sehari dua.  Sudahlah aku hanya berseorangan di tempat yang aneh lagi asing ini.  Takut juga dengan keadaan di sekeliling aku.  Bermacam- macam perkara bermain di benak fikiranku kini. 
            Melihatkan hari yang kian berubah tua,  aku mula risau.  Jika benar dia tidak datang menjemput,  di mana pula aku harus menginap pada malam ini.  Perut juga sudah berlagu riang menandakan aku perlu mendapatkan sesuatu untuk di jamah.  Sekali lagi aku meninjau di sekeliling kawasan Stesen Bas Kangar ini.  Mencari sesusuk tubuh yang mungkin datang menjemputku.  Namun,  sekali lagi hati aku hampa.  Insan yang aku nantikan tidak juga muncul seperti yang di rancang. 
            Oleh kerana itu,  aku membuat keputusan untuk mencari sesuatu tempat untuk di jadikan tempat aku melelapkan mata pada malam ini.  Perhentian bas aku tinggalkan dengan perasaan yang bercampur baur.  Antara bimbang, geram, takut, sakit hati dan tertanya-tanya.  Namun tidak mungkin aku perlu terus menanti dirinya disini.  Puas aku mencari rumah penginapan buat aku melelapkan mata nanti.  ‘Aduhai, punya jauh aku jalan dari tadi, alih-alih dekat sini aje hotelnya. Bodoh betul!’  rungutku di dalam hati tatkala melihat perhentian bas yang aku tinggalkan sebelum ini.  Biarpun hotel ini tidaklah sehebat hotel lima bintang,  namun bagiku ianya sudah cukup selesa. 
           
            Di tepi pantai ini aku mula menangis semahu-mahunya.  Tempat yang sama dimana aku melihat matahari terbenam sebelum ini.  Tempat yang banyak menyimpan kenangan buat aku.  Sungguh di kala ini aku teramatlah sedih memikirkan kisah lalu.  Bukan aku menyalahkan takdir,  namun kesedihan tetap wujud walaupun sudah genap tujuh bulan peristiwa itu berlaku.  Ianya bukanlah sesuatu yang dengan mudah dapat di lupakan.  Ianya juga bukanlah sesuatu yang boleh berubah dalam sekelip mata.
            Jemariku mengusap lembut perutku sambil mengenang kisah yang berlaku.  Hatiku bagai di palu perasaan gusar yang teramat.  Sesungguhnya bayi ini tidak bersalah.  Aku tidak akan sekali-kali meletakkan kesalahan ini kepadanya.  Namun,  bagaimana pula tanggapan masyarakat kepadanya apabila dia di lahirkan nanti?  Itu membuatkan aku bimbang.
            ‘Sayang ibu,  hanya sayang yang ibu ada sekarang ni.’  Bisikku sendiri.  Berharap agar dia dapat mendengarnya.  Berharap dia akan memahami masalah dan kerisauan aku ini.  Berharap dia akan menjadi tabah apabila dia mengenal dunia satu hari nanti.
            Deruan ombak yang menghempas pantai membuatkan hatiku sedikit tenang.  Sisa air mata yang mengalir ku seka perlahan.  Alangkah indahnya jika masalah yang aku hadapi kini adalah seperti air mataku ini.  Mengalir dan akan terus hilang dari pandangan.  Namun,  keperitan dan masalah ini masih melekat bersamaku. Serasa tidak akan hilang. 
            Mataku ralit melihat nun jauh di tengah laut.  Sungguh indah kejadian tuhan.  Sekali lagi aku melihat keajaiban yang sama dan juga di tempat yang sama.  Sesekali aku cuba menguak kembali kisah lalu yang seakan sudah mula luput di telan masa.  Kisah yang ada kalanya ingin ku hapuskan dari kehidupan aku ini.  Namun,  sesuatu yang terlalu ingin aku lupakan itulah yang akan selalu aku ingat dan kenang.  Sehinggakan aku mula berasa kesal dengan apa yang pernah aku lalui sebelum ini.  Membuatkan aku kembali tidak percaya dengan takdir aku sendiri dan menyalahkan orang lain untuk segalanya.  Sedangkan pilihan itu berada di tangan aku sendiri. 
            “Awak lupa ke?”  ajuku tatkala panggilan itu di sambut.  Sedari semalam aku mencuba, baru hari ini aku dapat berbicara dengannya.
            “Lupa apa nie?” ajunya kembali kepadaku.
            Aku sudah berangin satu badan. Hendak aku marah tidak sampai hati pula. Namun, hendak di biarkan hati aku sendiri pula yang merasa sakitnya. “Saya tunggu awak semalam.”  Ujarku lirih. Masih cuba bersabar dan berlembut biarpun darahku sudah menyirap di kepala.
            Sepi seketika. Tiada balasan yang aku terima daripadanya.
            “Awak dengar tak apa yang saya cakap nie?” ajuku lagi.
            Kedengaran seperti tepukan di dahi. “Awak, saya betul-betul minta maaf pasal semalam.  Saya terlupa yang kita ada plan.  Saya betul-betul lupa!” ujarnya kalut.
            Aku sudah mengeluh berat. “Saya ni bukan jenis yang nak memaksa atau apa. Cuma, kita dah janji.  Jadi saya pun datang. Saya banyak kali telefon dengan text awak, tapi satu pun awak tak reply.  Kalau awak kata awak lupa, saya percaya.  Tapi, tak kan panggilan saya awak tak dengar?”  sungguh tidak masuk akal jika dia tidak mendengarnya. Bukan sekali aku menelefon, tetapi sudah banyak kali. Sesiapa yang berada di tempat aku akan merasakan yang sama.
            “Saya betul-betul minta maaf awak.” Pohonnya bersungguh-sungguh.  “Awak ada dekat mana sekarang nie?” ajunya kepadaku.
            “Saya ada dekat Bank ni.” balasku. “Kenapa?” ajuku lagi.
            “Kalau macam tu jom kita lepak nak?”
            Aku sudah mengerutkan dahi. ‘Aihh nak lepak dekat mana pulak ni.’ Ajuku sekadar di dalam hati. “Bila? Dekat mana?” aku bertanya.
            “Sekarang la. Kita lepak dekat Kuala perlis. Awak tak pernah sampai sana kan, jadi boleh la awak lepak dekat sana. Lagipun, dekat sana best.” Terangnya.  Aku sekadar menurut sahaja. Alang-alang aku sudah berada di bumi Kangar ini, apalah salahnya jika aku menerima pelawaan itu.  Sememangnya tujuan aku ke sini adalah untuk melawat kawasan sekitarnya.  Tentulan rugi jika aku pulang begitu sahaja.
            Aku bergerak menyiapkan diri kerana dia berjanji untuk mengambil aku setengah jam lagi.  Aku hanya mengenakan jeans dan tshirt berlengan panjang biru kerana ianya lebih selesa. Sempat juga aku mengunyah seketul roti yang ku beli sebentar tadi.
           
           
            Entah mengapa malam ini aku merasakan kelainan.  Walaupun sudah beberapa malam aku disini.  Dalam pada aku mengelamun,  telefon bimbitku yang berada di atas katil berlagu riang.  Baru malam ini aku mengaktifkannya kembali.  Aku sekadar ingin bersendirian buat ketika ini.  Ingin mencari sedikit ketenangan yang sudah lama tidak aku rasai.
            “Ada apa mak?”  ajuku setelah salam ku hulurkan. 
            “Amboi budak ni. Boleh pulak dia tanya ada apa?”  marah ibuku tercetus.  “Kamu ke mana lagi ni? Kamu jangan nak buat hal lagi!” ibuku bertanya dengan nada tegas. Sememangnya ibu adalah seorang yang tegas.
            “Ibu jangan risaukan saya.  Saya tak ada apa-apa. Nanti dua tiga hari lagi saya balik la ibu. Ibu jangan risau ye!” pujukku.  Kalau di ikutkan hati aku ini, aku sudah tidak ingin pulang ke sana.  Biar saja aku merantau ke tempat lain asalkan aku tidak perlu pulang. Namun, bila difikirkan kembali, tidak wajar sekirannya aku meninggalkan ibu keseorangan di kampung. Namun, adakah aku perlu menahan telingaku setiap hari. Mampukah aku bersabar dengan karenah orang kampung terhadap aku. Semua itu membuatkan aku runsing.
            “Macam mana ibu tak risau. Kamu tu dah la sarat, boleh pulak kamu pergi ke sana sini. Buatnya jadi apa-apa, macam mana?” marah ibuku lagi.
            Aku mengeluh perlahan. “Tak ada apa lah ibu.  Benda yang ibu risaukan dulu, ibu jangan risau lagi ye.  Benda yang nak di jaga dah tak ada pun. Semua dah tak ada.” Balasku sedikit sayu.  Berharap agar ibuku mengerti apa yang cuba ku sampaikan kepadanya.
            “Ibu tau kamu masih sedih.  Tapi, kamu tak boleh la buat macam ni.” Tegas ibuku.  “Lari dari rumah bukan dapat selesaikan apa-apa Fira. Ibu tak nak masalah lain pulak yang datang nanti!” tambah ibu lagi. Tanpa sedar air mataku mengalir hangat ke pipi. Sekali lagi detik itu terlayar di tubir mata.  Membuatkan aku tergeleng sendiri. Memaksa otakku agar melupakannya segera. Aku tahu melarikan diri tidak dapat menyelesaikan apa-apa.  Namun, hanya inilah caranya untuk aku mendapatkan secebis ketenangan. Ketenangan dari keriuhan mulut jiran tetangga yang galak membawa mulut tentang aku. Walaupun mereka sendiri tidak tahu apa yang berlaku.
            “Ibu, Fira bukan nak lari.  Fira cuma tak nak otak Fira ni berserabut. Fira dan nak gila ni.  Fira rasa kalau Fira duduk dekat rumah, Fira boleh terus jadi gila!” ujarku sambil tanganku menyeka lelehan air mata di pipi.
            “Ibu bukan nak menghalang Fira, tapi Fira tu bukannya larat sangat.” Ujar ibuku bimbang.  Sewajarnya seorang ibu bimbang dengan keselamatan dan kesihatan anaknya.  Namun, aku tahu ibuku juga terpaksa menanggung malu di atas apa yang berlaku kepada aku tujuh bulan lalu. Tambahan pula aku kini sudah tidak seperti dahulu.
           
            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan